Para Pengikut..

Wednesday, 20 November 2024

Resepi ayam gunting sedap tapi ringkas jer.

 Salam uolssss

Nohhh, lama tak post tak sini. Masuk lap-lap sawang tiba-tiba post resepi. Haha. Takpelah. Untuk rujukan diri sendiri jugak ni. Next time ku search kat sini saja.


Resepi ayam gunting versi mami.

Isi ayam kat rumah ni paling lambat habis tau. Kalau nak goreng kunyit macam tu tak berapa laku sangat. So kita buat style macam ni laku kejap je licin pinggan tu haaa.

Isi ayam tumbuk-tubuk bagi nipis skit guna lesung ke apa lantak korang. 

Lepastu perap ayam dengan bahan-bahan dibawah :

Telur 1 biji

Bawang putih 2-3 ulas (tumbuk)

Serbuk lada hitam

Serbuk lada putih

Garam

Serbuk perasa

Tepung mami guna tepung bestari yang spicy. Cuma untuk anak kecik yang tak tahan pedas tu mami campur dengan tepung gandum.

Percikkan air suam dekat tepung dulu. Lepastu celup ayam dengan tepung. Celup lagi sekali dengan bancuhan telur dll tu kemudian bedakkan dengan tepung sekali lagi. Buat 2x tau so kriuk-kriuk pada ayam tu jadi tebal best sikit.

Dah settle boleh goreng. Minyak pastikan tenggelam ayam tau. Dah goreng siap boleh angkat dan gunting-guntingkan dia boleh hidangkan. Siap. Yummy!

Mudah je kan. Ok bye korang. Jumpa next resepi.

Saturday, 14 January 2023

New year & new chapter.

 Salam uollss.


Ewah kemain tajuk omputih yer. Tahun baru 2023 betul- betul chapter yang berubah. Yang tak sangka tiba-tiba dapat dukung baby lagi😂. Dapat dengar baby nangis lagi dalam rumah ni setelah hampir 7 tahun bunyi Daniel je nangis. Haha.

Kemudian la story pasal anak kedua yer. Ni ha anak sulong mami genap usia 7 tahun, 22 Dis yang lepas dah. Tapi duk delay nak sambut potong kek akhirnya Jumaat lepas baru terlaksana.

Tahun ni Abang Long request nak kek Super Wing. Tapi mami nak kek simple je tahun ni. Less deco. So tempah dengan ex office mate design simple-simple. Kartun Super Wing tu mami print sendiri je tampal dengan lidi dan cucuk dekat kek. Seronon la dia nampak ada kartun Super Wing tu. Haha.

Asalnya mami plan nak masak bihun soto. Malam Khamis tu gigih buat begedil masuk peti ais. Yelah memandangkan ada anak kecik ni nak duduk lama-lama kat dapur pon payah jugak. So malam time anak tido buat dulu. Tiba-tiba pagi esok mak call bagitau ayah nak sponsor laksa. So cancel la buat soto. Nak buat banyak-banyak makanan bukannya panggil ramai tetamu pon.


Mami buat kek orange, nasi goreng sardin. Kuah laksa tu pergi masak kat rumah mak pagi tu. Then adik ipar sampai dia buat puding roti dan ayam korea. Tak sempat ambik gambar makanan ha. Licin dibedal. Alhamdulillah makanan ngam-ngam habis.





TQ my adik ipar datang siap tolong masak kat dapur buat macam dapur sendiri. Heee.




Semoga mami ada rezeki lebih lepas ni boleh jemput ramai-ramai datang rumah untuk makan-makan.


Saturday, 3 September 2022

Anak ke2 selamat menjenguk dunia.

Salam uollss..

Last post umum pregnant tau-tau dah deliver baby yer. Mak busy. Tapi kita coret jugak untuk kenangan diari digital ni.

Alhamdulillah. Mami selamat lahirkan anak kedua jugak lelaki tepat jam 7.33 pagi seberat 3.03kg.

Tak sempat tunggu bulan Sept. Ikutkan due 11 September 2022. Tapi baby tak sabar nak keluar jugak bulan Ogos. Hehe. Banyak betul history admit hospital untuk pregnant kali ni. Next time free kita coret2 kat sini.

Abang Long excited sangat ada baby. Tapi tulah excited tu campur geram. Risau jugak dia buat geram kat adik.



Macam tak percaya dah darjah 1 baru dapat adik. Haha. Jumpa next entry ya😘



Thursday, 16 June 2022

3rd pregnancy. Alhamdulillah.

Salam uollss.

Lama menyepi dari arena mencoret-coret di blog nih. Sibuk dengan kerja hakiki seharian sampai terabai terus blogku. Apapun ada masa free sikit tetap kena mencoret di sini sebagai memori kelak.
So lepas kisah 2nd pregnancy yang ectopic tahun lepas Alhamdulillah tahun ni Allah hadirkan lagi rezeki zuriat didalam rahimku.

Kisahnya bermula bulan Januari 2022 tu  Mr.P delay 3 hari. Saya yang selalunya on time ni terus la berharap ada rezeki kali ni. Masa tu takde apa-apa simptom lagi. Tapi kebetulan UPT test banyak stok di rumah so saya pon cek la.

1st time test tu mula-mula keluar double line tapi macam tak berapa clear. Then kita konon nak sorok dulu dari husband. Kononlah nak surprise kan husband kan. Tapi daku terkejut campur keliru. Terus panggil husband suruh tengok nampak tak double line tu. Husband cakap pandangan mata dia nampak ada 2 line tapi tak berapa clear. Ni cek 7/1/2022.



Subhanallah. Kalau memang ini rezeki kehamilan ke-3 yang Allah tetapkan ku bersyukur ke hadratmu atas segala nikmat pemberianmu. Masa tu takde lah nak excited sangat sebab banyak jugak baca history kawan-kawan ectopic tu 2nd pregnancy diorang pun ectopic after 1st ectopic tu.

 Gembira dan berdebar dalam masa yang sama. Tapi sedapkan hati semoga semuanya baik-baik saja. Lepas 1st time check tu saya sentiasa alert kalau ada pendarahan atau sakit perut macam pengalaman 1st ectopic haritu. Sentiasa berjaga-jaga masa drive, elak bawak laju-laju atau langgar lubang. Kat rumah pun takde buat kerja berat-berat sangat. Makan pun berjaga-jaga. Lepas tu 2,3 kali jugak buat upt test. Masih lagi double line yang semakin clear.

Ni lepas 3 hari test lagi. Masa ni dah nampak makin clear.

Then seminggu lebih macam tu test lagi. Banyak nau stok upt yang ada. Haha. Ni dah makin jelas kelihatan. Lepas tu takde test dah.


Nak pergi cek klinik awal-awal tu takut still tak nampak apa lagi. Jadi saya hold dulu sampai 7 week.

7 week baru check kat klinik swasta nak pastikan kandungan dalam rahim. Masa ni memang dah pesan kat husband jangan bagi tahu sesiapa lagi selagi belum confirm.  Tapi bagi tau jugak kat mak & mak mertua suruh doakan semoga kandungan ni selamat berada dalam rahim.


Minggu ke 7 macam tu pergi checkup kat klinik swasta. Pilih klinik yang doktornya ramah sikit boleh kita bercerita itu ini dan doktor yang kita dah biasa pergi. Masuk bilik doktor tu cerita la kat doktor history ectopic semua tu. Naik bed doc scan. Nangis la depan doktor tu bila doktor cakap kantung elok dalam rahim. Masa tu nampak kelip-kelip dia berdegup. Subhanallah. Terima kasih Allah. Selepas 6 tahun menanti anak ke2 Allah hadirkan ujian kandungan ectopic supaya mami kuat terima ujian dariNya dan 3 bulan kemudian Allah ganti kesedihan tu dengan kandungan dalam rahim.


Alhamdulillah. Now dah 27 week. Kehamilan ni sama macam yang sulong jugak. Takde morning sickness,  takde pening muntah apa. Masih mampu masuk dapur dan melakukan kerja-kerja rumah seperti biasa. Doakan semoga kandungan yang sentiasa dinantikan ini selamat & saya sihat hingga melahirkan. Dijangka 12 September nanti. Tak sabar Abg Long nak dapat adik 😘.






Wednesday, 16 February 2022

Resepi menu berpantang lepas pembedahan.

Salam uollss..

Dah lama peram entry ni tau. Now hari ni ada masa lebih sikit kita post lah untuk bacaan hari mendatang. Hee.

Korang dah baca entry sebelum ni? Boleh baca dulu yer kalau nak tahu sejarah operation saya nih.

Operation laparoscopy.

Alkisahnya hari saya discharge tu masa tu asben demam dan sesak nafas. Kesian sangat. Actually dari sebelum saya warded lagi demam. Saya ke hospital dengan grab. Balik ke rumah lepas discharge pun dengan grab. Nasib baik anak saudara ada tolong temankan. Asben memang tak larat nak handle rumah. Then keesokan harinya asben pergi klinik sampai kena refer kat hospital then warded. So keseorangan saya berpantang. Nasib baik berjiran dengan mak kan. Ayah akan belikan ikan, mak siang ikan siap-siap. Saya masak sendiri jer. Bakar ikan guna AF. Tq AF yang banyak berjasa. Haha.


Nak dijadikan cerita seminggu sebelum operation tu saya terrajin plak blend paste untuk bawang merah, bawang putih dan halia. So masa berpantang tu senang jela paste dan ready.

Masa berpantang setiap hari saya akan makan oren. Elok untuk membaikpulih luka. Pilih oren yang manis-manis. Ikan pulak biasanya ayah belikan cencaru dan selar. Ikan tu just lumur dengan halia, bawang putih dan bawang merah. Masuk sedikit garam. Lepastu bakar. Saya akan lumur ikan 3-4 ekor sekaligus. Tak la banyak kerja sangat nak prepare untuk masak.


Untuk sayur pulak saya beli sawi, carrot, brokoli. Masak pun simple jer. Tumis bawang putih, bawang merah. Saya guna minyak jagung. Masukkan air then sayur. Kalau nak pedas skit tabur serbuk lada hitam. Saya blend siap-siap lada hitam so kalau nak masak tumis sayur macam ni senang. 


Bawang putih elok untuk buang angin. Saya hiris bawang putih goreng garing. Sejukkan then simpan dalam bekas kedap udara. Boleh makan dengan nasi.


Kalau tak nak lauk berkuah sangat saya buat sawi masak sos tiram. Aduh sedapnya😋


Seminggu lepas operation saya tanya mak boleh makan ikan kering ke. Mak cakap boleh. Saya try la bakar ikan kering ikan selar. Rasa sikit ok je takde gatal-gatal. So saya makan la berselera sikit makan nasi. Hehe.


Selain tumis sayur, boleh jugak tumis ikan. Sama jugak konsep campak-campak ni. Bahan utama haruslah halia, bawang putih dan bawang merah.

Then ada kelapa parut. Saya buat sambal. 
Tumbuk lada hitam sikit, bawang putih dan halia, masukkan isi ikan kering. (Make sure dah lulus ikan kering). Ha tu jela. Sedap makan dengan nasi panas-panas.


Ni la rupa dia sambal orang pantang tu. Hehe.


Ni repeat lagi sambal sebab ada kelapa parut.


Alhamdulillah lepas dua minggu berpantang tu saya try bakar ayam pulak. Tapi makan part isi jela. Macam biasa kalau rasa ok takde gatal-gatal saya proceed je makan macam biasa. Selesai berpantang dengan jayanya walaupun berseorangan. Ceewah gitu.

Tq sudi baca. Boleh drop komen macam mana style korang berpantang pulak🥰







Monday, 24 January 2022

Daniel turns 6th.

 Salam uollss.

Lamanya tak menulis kat belog nih. Hari tu sambut birthday anak mami yang ke-6 tahun. Cepatnya masa kan tiba-tiba 6 tahun. Ni bulan 3 nanti dah masuk darjah 1 dah. How time flies🥰


Tahun ni Daniel request nak kek super wing. So mami pon order la belon-belon tema superwing. Malam tu papa yang tolong deco belon semua. Nasib baik beli set belon tu dapat sekali dengan pump tu senang la tak payah susah payah tiup manual. 


Kek super wing order dengan one of my fb friend. Tiap tahun order kek ngan dia. Sedap sangat kek memang tak pernah mengecewakan. Tiap tahun mami akan order Chocolate Cake Indulgence. Memang tak pernah puas makan perisa ni kan.


Daniel suka sangat la dapat kek Super Wing ni. 

Tahun ni makan simple-simple je. Kebetulan hari Ahad tu rumah mak buat makan-makan kenduri kesyukuran sempena adik laki kahwin bulan Jun tahun lepas. So petang tu mami sambung minum petang kat rumah mami pulak. Menu kek dan kuih-kuih bergoreng jer sebab tengahhari dah kenyang makan rumah mak kan.


Tq my brother sponsor brownies dari Mamasab. Sedap sangat brownies Mamasab ni. Recommended!


Menu bergoreng ada karipap dan kuih ropa. Karipap frozen beli ngan jiran belakang rumah mak. Goreng sendiri je la. Tq adik-adik ipar tolong goreng. Kuih ropa pun my brother jugak sponsor beli frozen dengan kawan dia.


Then mami order tart telur dan creampuff.


Ni kek oren mami buat.


My adik ipar datang dari Dungun bawak tauhu begedil. Sedapnya. My favourite ni. Cicah dengan sambal kicap pedas-pedas.


Tq family mertua datang dari Dungun.




Daniel excited unboxing gift. TQ semua yang hadiahkan macam-macam kat Daniel. Semoga dimurahkan rezeki semuanya.

Alhamdulillah selesai majlis kecil dengan keluarga tersayang.

Sunday, 5 December 2021

Resepi Kek Coklat Puding Karamel

Rasanya dah kali ketiga buat kek ni. Dua-dua part atas dan bawah tu my fav. Bila digabungkan sekali super fav la. Hehe. So kita save resepi kat sini unutk rujukan kelak.

Resepi Kek Coklat Puding Karamel

Bahan-bahan :
3 sudu gula - Cairkan dalam loyang atas api yang perlahan. Kacau sambil diratakan biar karamel tu sekata menutupi loyang tu.
Bila gula dah cair dan berwarna kekuningan tu angkat sejukkan. Jangan sampai gula tu warna gelap tau.

Puding Karamel

1 cawan susu pekat (Kurangkan kalau tak suka manis sangat)
1 cawan susu cair
3 biji kuning telur
1 Sudu teh esen vanila.
Blend sampai sebati. Kemudian tapid dan tuang atas loyang tadi.
Kukus dalam masa 30 minit. Saya tutup periuk kukusan dengan kain untuk mengelakkan wap air masuk dalam loyang tu. Atau nak tutup dengan aluminium foil pon boleh jugak.
Angkat dan letak tepi. Sejukkan dalam suhu bilik 20 minit. Nanti dah sejuk lorek-lorek dengan garfu.

Kek coklat
1 cawan susu pekat
1 cawan susu cair
1 cwn minyak masak
3/4 cawan gula
1 cawan serbuk koko.
3 biji telor
Kacau semua bahan diatas hingga sebati.

1 cwn tepung gandum
1 sudu kecil soda bikarbonat
1 sudu kecil baking powder

Ayak 3 bahan diatas dan adun sekali dengan adunan cecair coklat tu. Tuangkan adunan ke dalam loyang karamel tadi. Kukus 50 -60 minit atau sampai masak. Nak tau masak ke tak cucuk dengan garfu kalau dah takde coklat cair melekat di gafru tu dah masak la tu.

Dah masak angkat dan sejukkan. Dah sejuk nanti terbalikkan kek tu. Yummyyyy. Letak dalam fridge makan sejuk-sejuk tau.




Selamat mencuba!

Thursday, 4 November 2021

Pengalaman ectopic dan pembedahan laparoscopy.

Salam uollss..

Lama sungguh tak bersiaran, tiba-tiba terus bagi entri yang mengejutkan. Iyee dakk. Korang familiar tak dengan istilah ectopic ni. Saya sendiri tak pernah dengar pun kes kawan-kawan terdekat diuji dengan kehamilan ectopic ni. Tiba-tiba Allah uji pengalaman tu pada saya. So let's the story begin..

16hb September : Hari pertama start bleeding yang kusangkakan period (mr P)

Ceritanya bermula September yang lepas. Setiap bulan saya punya mr P on time jer. Bulan September mr P datang lewat seminggu. Mula-mula terfikir jugak ke aku dah hamil. Berkira-kira nak beli UPT tapi tunggu dulu la sebab pernah jugak datang lewat seminggu macam tu. Then malam tu mr P muncul. Musnahlah harapan ku. Haha. Actually pagi Jumaat tu saya baru plan nak hiking. So dah terpikir kalau tak period jugak kita tak jadila pergi hiking. Malam Khamis tu mr P datang. So kita pun onz jela pergi hiking pagi Jumaat tu.

25 September : Sakit perut yang amat sangat datang tiba-tiba.

Seminggu lebih lepas tu tiba-tiba satu hari tu saya sakit perut. Sakit yang amat sampai baring jer. Berpeluh satu tubuh. Sebelum tu saya makan nasi dengan sambal pedas. So saya assume sakit perut sebab makan pedas tu. Kebetulan hari Sabtu cuti kan. Lepas makan tu terus baring baru lega sikit. Petang tu dah ok baru keluar siram pokok bunga. 

Biasanya mr P saya sampai  9-10 hari. Tapi bulan September sampai hari ke10 tu masih muncul. Dah pelik dah. Saya tunggu sampai hari ke 15. Duk terfikir kalau sampai hari ke 15 tu ada lagi kena pergi checkup la risau jugak takut sakit apa dalam perut tu mana kita nampak.

30 September : Hari ke 15 ke klinik untuk checkup.

Hari Khamis ni kerja, Time rehat tu saya keluar pergi klinik tak jauh dari ofis. Then kebetulan doktor laki jer yang ada. So batalkan hasrat. Kalau boleh nak jumpa doktor perempuan hal-hal berkait dengan perempuan ni. So balik opis la plan nak ke klinik dekat area rumah hari Sabtu macam tu. Jumaat kat sini kebanyakan klinik tutup.

01 Oktober : 

4.00am - Sakit perut datang lagi.

Hari ke16. Saya terjaga dari tidur sebab sakit perut yang amat. Tengok jam masa tu dekat pukul 4.00 am. Dia rasa macam sakit time senggugut macam tu la. Sakit sampai nak baring tak boleh, nak meniarap pon tak selesa. Lepas tu duduk dalam keadaan sujud sambil istigfar je. Kebetulan husband plak masa ni demam. Tapi dia bangun jugak teman kita kat ruang tamu. Sakit sampai berpeluh la seluruh tubuh. Saya dah rasa semacam dah sebab still bleeding tapi dah macam bukan mr P. Risau campur takut. So saya tunggu pagi sikit nak pergi klinik.


7.30 pagi bersiap-siap pergi klinik 24 hours , Pusat Perubatan Intan. Asben demam urat memang tak boleh drive. So dia jaga Daniel kat rumah. Mak suruh adik saya temankan, tapi takut lama kat klinik kesian pulak adik. Saya pun masa tu dah tak rasa sakit sangat jadi gagahkan diri drive je sendiri. Perjalanan ke klinik tu dalam 20 minit macam tu. Drive slow je pagi tu jalanraya pun tak sibuk sangat pagi Jumaat.

Sampai klinik lega sebab hening je. Patient tak ramai. Saya patient kedua. Masuk bilik doktor ceritalah detail kat doktor. Doktor scan cek dalam rahim kosong. Bila dah soal selidik semua doktor suruh test upt. Test upt nampak clear double line. Doktor suspek mengandung luar rahim. Terus buat surat refer ke HSNZ. Blur terus saya dibuatnya. 

Masuk kereta nangis call asben. Bagitahu asben suruh dia maklumkan kat mil. Tunggu dah bertenang drive balik. Rasa kosong masa tu. Kena pegi hospital tinggalkan asben yg demam. Anak pon demam jugak jangkit ngan asben. Risau jugak asben demam ni tapi dah cek saliva -ve covid. Sampai rumah mak datang rumah. Cerita kat mak jugak. Lepas tu call anak buah nak ajak dia teman saya pergi hospital. Lepas tu kemas barang-barang nak bawak ke hospital.

11.30 am : Refer to HSNZ

11.30 am saya ke hospital ditemani anak buah. Mula-mula fikir nak drive tapi takut nanti nak discharge kan payah nak drive so order grab je senang. Sampai hospital daftar kat bahagian kecemasan. Scan balik rahim tu then terus bawak ke red zone. Doctor cakap kalau OT kosong terus boleh operation. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Pembedahan laparoscopy dijalankan dengan jayanya. Tiga lubang kecil ditebuk di perut seterusnya doktor akan cek melalui kamera. So untuk detail korang boleh google yer. Hehe.

Dah sebulan berlalu masih terbayang suasana kalut di red zone, lepas tu misi tolak masuk ambulans sebab kena OT bangunan sebelah. Then kalut pulak di OT. Paling tak boleh lupa masa di red zone ada sorang misi tu tanya saya 'puan dah call suami ke, call la suami minta maaf..sebab kita tak tahu lepas ni macam mana'..berlinang air mata. Sebelum tu dah call asben tapi ramai doctor pelatih keliling saya so takde la kita nak cakap drama-drama sangat. Then pass hp kat doctor sebab dia nak explain pasal operation tu kat asben. Masa ditolak menuju ke OT tu anak buah follow jugak. So saya berkesempatan call asben minta maaf kesemua kesalahan saya, minta halalkan makan minum saya, minta dia jaga Daniel elok2. Masa tu baru terbayang kalau Allah takdirkan saya pejam mata ini untuk selamanya saya hanya berserah segalanya pada Allah. Sebelum operation mengucap, baca alfatihah dan istigfar. Doa banyak-banyak semoga Allah permudahkan dan menjayakan semuanya.

Alhamdulillah saya buka mata nampak doctor mundar mandir. Pembedahan berjaya dan Allah masih panjangkan umur saya.

Start operation tu 2.00 petang ke atas macam tu, settle dalam 3.00 lebih. So dalam sejam macam tu jelah. Ni pun saya tanya doktor lepas dah masuk ward tu. Settle tu saya dimasukkan ke wad biasa. Terkebil-kebil jela mata sebab kiri kanan tangan ada wayar. Kesan ubat bius lama sangat tidur sedar-sedar kat luar dah gelap. Lepas tu terfikir takde orang ke update saya dah selesai operation ni. 

Kesian pulak hp ada dengan anak buah. Dia tunggu depan OT berejam2 takde orang bagitahu dah settle. Waris plak tak dibenarkan masuk. Nasib baik la saya pinjam hp patient katil depan suruh anak buah tinggalkan barang2 kat guard. Malam baru guard hantar barang. Adoi. Barulah dapat inform kat semua family & opismate saya dah selamat operation. 

Malam tu saya gagahkan diri ke toilet. Basuh muka rasa fresh sangat. Masih ada rasa sakit kat tempat operation. Jalan pun slow jer. Keesokan harinya rasa makin segar dah boleh mandi. Doktor bagitau tengahhari dah boleh discharge. Lega sangat dapat balik jumpa keluarga.

So bermulalah tempoh berpantang. (Bersambung ke next entry)

Terima kasih sudi baca pengalaman saya. Coretan untuk diari pengalaman diri sendiri untuk tahun-tahun mendatang.

Friday, 18 June 2021

Resepi kuih bom inti ikan Terengganu

Salam uollss..

Hari tu saya follow page Masakan Terengganu di FB. Macam-macam la resepi Terengganu yang keluar. Aduh terliur la semua makanan-makanan tradisi Terengganu yang keluar termasukla kuih bom ni. Kat Terengganu kami panggil 'kuih paung sambal'. So weekend hari tu kita try la buat kuih ni . Resepi senang jer ambil dari FB Masakan Terengganu. Kita tempek sini nanti boleh cuba buat lagi next time. 

Resepi Kuih Bom Terengganu

Doh kuih bom.

1 cawan tepung gandum

2 cawan tepung pulut

1 cawan kelapa parut putih

Garam secukupnya

Air secukupnya. Saya letak air suam.

Cara:

Mula-mula buatkan doh dahulu. Gaul sebati tepung pulut, tepung gandum, kelapa parut serta garam.

Masukkan air sedikit demi sedikit hingga menjadi doh yang sebati. Doh yang dah ok dia tak melekat kat tangan.

Biarkan doh seketika. Sementara tu boleh siapkan sambal.


Bahan untuk sambal:

Ikan selayang 5 ekor sederhana besar

Nisan & Asam keping (untuk rebus ikan)

1 cawan santan cair

5 ulas bawang merah

1 inci halia

1 sudu kecil halba

1 sudu kecil garam

2 sudu kecil gula

Mula-mula rebuskan ikan selayang bersama asam keping dan nisan. Lepas tu asingkan isi ikan bersama tulang. Air rebusan tu jangan buang tau. Tapis air rebusan untuk buat sambal. Guna garfu untuk hancurkan isi ikan tadi.

Hiris bawang merah. Halia tu saya tak hiris sebab tak nak rasa halia sangat. Saya ketuk je sikit. So nanti siap sambal buang je ketulan halia.

Seterusnya dalam kuali campurkan santan, ikan, bawang dan halia. Masukkan juga halba, garam dan gula secukup rasa.

Masak guna api sederhana hingga agak kering. Tapi taklah terlalu kering tau. Kering lembab macam tu.

Seterusnya bila sambal dah ready bulatkan doh masukkan inti dan tutup.

Goreng dalam minyak banyak dengan api sederhana.

Kalau nak frozen kan boleh goreng sekejap dan sejukkan kemudian simpan kat freezer.



Saya buat untuk adunan ni dapat lebih dari 30 biji. Tak sempat nak buat stok frozen. Pagi esok dah goreng habiskan. Sedap makan panas-panas. Okeylah nanti buat lagi.



Puas hati dapat makan inti banyak. Biasa beli kedai inti sikit sambal pun kadang-kadang takde rasa lemak, ikan pun tak banyak.


Selamat mencuba!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...